KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan membariskan skuad yang disifatkan 'ala kadar' untuk dua aksi persahabatan di China mencetuskan persoalan besar sama ada Harimau Malaya serius untuk mengejar ranking FIFA atau sekadar 'makan angin'.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan pilihan pemain yang diumumkan semalam memandangkan jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu mata penting bagi memperbaiki kedudukan ranking.
Malah, Zakaria melihat pendekatan ini akan merencatkan kebangkitan skuad negara yang sebelum ini memperaga aksi cemerlang dalam kempen Piala ASEAN FIFA pada jendela antarabangsa terakhir yang membantu mereka 'memanjat' tiga anak tangga.








