PETALING JAYA: Harimau Malaya tidak boleh selamanya bergantung kepada khidmat pemain veteran sebaliknya perlu segera mempercepatkan proses peralihan generasi bagi memastikan kesinambungan kekuatan pasukan kebangsaan.
Pandangan itu disuarakan tonggak tengah berpengalaman, Paulo Josue yang mengakui perjalanan karier antarabangsanya semakin menghampiri penghujung, sekali gus memberi gambaran bahawa sudah tiba masanya lebih ramai pemain muda diberikan peluang.
Pemain berusia 37 tahun itu, mengakui terkejut apabila namanya masih berada dalam senarai panggilan kebangsaan kali ini kerana beliau berpendapat ruang lebih besar sepatutnya diberikan kepada muka baharu untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang.






