Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bimbang fenomena Super El Nino yang berpotensi berlarutan hingga awal tahun depan menyebabkan kekurangan sumber air, sekali gus menjejaskan operasi pemadaman kebakaran di negeri itu.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata, cuaca panas dan kering dengan taburan hujan rendah bukan sahaja meningkatkan risiko kebakaran terbuka, malah boleh menjejaskan bekalan air daripada pili bomba, sumber domestik dan sumber air terbuka.

"Kalau Super El Nino masih berterusan sehingga Mac tahun depan, kebarangkalian berlakunya kebakaran terbuka adalah tinggi dan pada masa sama kita juga bimbang sumber air menjadi rendah.

"Ini kerana operasi pemadaman kebakaran masih bergantung kepada sumber air daripada pili bomba, bekalan domestik dan sumber air terbuka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.