Seoul: Anggota pasukan khas elit Tentera Darat Korea Selatan mencetuskan kecaman orang ramai selepas dilaporkan menjalani latihan 'catwalk' seperti model fesyen di atas pentas peragaan, lapor The Korea Herald.

Acara dikenali sebagai Festival Ketenteraan Persembahan K-Walking itu dianjurkan Briged Pasukan Khas Payung Terjun Pertama Tentera Darat Republik Korea di sebuah gimnasium dalam kem tentera berkenaan, kira-kira seminggu lalu.

Rakaman video menunjukkan model wanita berpakaian seragam celoreng dan kasut tumit tinggi memperagakan teknik berjalan di pentas peragaan kepada anggota tentera.

Mereka berjalan dengan sebelah kaki disilangkan di hadapan kaki yang lain, memusingkan badan ketika membuat pusingan serta menggayakan beberapa gaya dengan tangan dibengkokkan.