KUALA LUMPUR – Sebanyak 133,081 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen yang sah.
Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan, tindakan berkenaan diambil mengikut subseksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], yang memperuntukkan hukuman denda antara RM500 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut kementerian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merekodkan sebanyak 21,232 kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), manakala kesalahan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) masing-masing mencatat 1,933 dan 85 kes.








