KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB) memperkenalkan RHB Sinar Credit Card-i yang menawarkan kadar keuntungan tetap 14 peratus setahun bagi transaksi runcit tanpa mengenakan yuran tahunan dan caj keuntungan kompaun.

Kad kredit-i patuh Syariah itu kini dibuka untuk permohonan di seluruh negara dengan menyasarkan rakyat Malaysia yang memerlukan kemudahan pembayaran bagi memenuhi keperluan perbelanjaan harian.

Kad berkenaan ditawarkan kepada individu berusia antara 21 hingga 65 tahun dengan pendapatan tahunan minimum RM24,000 manakala had kredit ditetapkan sehingga RM20,000 atau dua kali ganda pendapatan bulanan mengikut mana-mana yang lebih rendah.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Bhd, Jeffrey Ng Eow Oo, berkata pengenalan kad berkenaan bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing.