KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Janna Nick menegur sikap segelintir peniaga dalam talian yang menggunakan gambar janaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempromosikan pakaian sehingga menyukarkan pelanggan melihat keadaan sebenar produk ditawarkan.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, penggunaan gambar AI menyebabkan pelanggan sukar menilai aspek penting seperti jenis material kain, potongan, tekstur serta bentuk pakaian apabila disarungkan ke badan.

Menerusi perkongsian di Threads, pelakon itu meminta peniaga yang menjual baju kurung atau pakaian raya secara dalam talian supaya menggunakan gambar produk sebenar berbanding imej yang diubah suai menggunakan teknologi AI.

Menurutnya, pelanggan mahu melihat perincian sebenar pakaian sebelum membuat keputusan untuk membeli, apatah lagi apabila urusan pembelian dilakukan secara dalam talian.