BUTTERWORTH: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tertiarap dan terapung di kawasan tali air dekat Kampung Permatang Pak Elong, Kepala Batas, bulan lalu.
Tertuduh, S Ganesan, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Mohamad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir hingga Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas, pada 8 Oktober lalu.









