KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam kemalangan di Jalan Kuching, 4 November lalu.

Tertuduh, Mohamad Imran Taj Maloor, 32, yang bekerja sebagai pencuci kereta, dihadapkan ke Mahkamah Majistret 9 di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.44 pagi itu, sebuah lori dan kereta terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching menghala ke Bulatan Segambut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh bersama seorang penumpang lelaki berusia 46 tahun melanggar bahagian sisi kanan belakang lori berkenaan.