Kuala Lumpur: Sebanyak 18 kategori bakal dipertandingkan dalam sukan karate pada temasya Sukan SEA Malaysia 2027, termasuk acara kata berpasukan campuran yang dijangka membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu.

Presiden Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, kesemua negara anggota ASEAN bersetuju dengan cadangan kategori yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAKF, hari ini.

Menurutnya, pengenalan acara baharu itu selari dengan perkembangan sukan karate di peringkat antarabangsa apabila kategori berkenaan sudah mendapat pengesahan Persekutuan Karate Dunia (WKF), namun belum dilaksanakan dalam pertandingan setakat ini.

Beliau berkata, keputusan itu turut mencerminkan komitmen pihak penganjur untuk memastikan semua negara mendapat maklumat dan peluang yang sama, tanpa sebarang kelebihan diberikan kepada tuan rumah.