PETALING JAYA: Karakter muzik Noh Salleh yang keras dan sarat emosi selama ini lebih dekat di hati peminat, namun menerusi konsert istimewa, dia tampil memperlihatkan sisi romantis yang jarang diketengahkan.
Sisi berbeza itu diterjemahkan menerusi persembahan penuh penghayatan dalam konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra di Idea Live Arena, di sini, Ahad lalu.
Menghargai lebih dua dekad perjalanan seninya, Noh memilih pendekatan di luar kebiasaan apabila mempersembahkan rangkaian karya ikoniknya dalam susunan muzik orkestra di bawah pimpinan komposer dan pengarah muzik, Aubrey Suwito.
Persembahan itu sekali gus memperlihatkan sisi berbeza vokalis kumpulan Hujan berkenaan yang selama ini sinonim dengan karakter muzik bertenaga, keras dan sarat kritikan, khususnya ketika beraksi dalam persembahan gig berskala sederhana mahupun festival muzik besar.









