KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan tidak pernah memberikan sebarang pelepasan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.

Ia susulan dakwaan berhubung kemungkinan penyalahgunaan pusat data tempatan bagi menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi ke negara lain.

MITI berkata, Speedmatrix hanya berstatus penyewa di pusat data di Malaysia, manakala sebarang lawatan pengesahan yang dilakukan kementerian di premis itu adalah sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor pusat data.

Tegasnya, lawatan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti bahawa syarikat terbabit sudah mendapat pelepasan.