JASIN: Semua calon, penyokong dan jentera parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diingat menghentikan segala aktiviti kempen tepat jam 11.59 malam ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata larangan itu turut meliputi aktiviti berkempen menerusi platform dalam talian, termasuk media sosial.

Beliau menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati tempoh berkempen yang ditetapkan dan tidak meneruskan sebarang aktiviti selepas waktu berkenaan.

"Ini hari terakhir kempen. Jadi, kita mengingatkan semua calon dan rakan-rakan mereka serta penyokong, kempen berakhir jam 11.59 malam ini. Maksudnya, jangan berkempen lagi (selepas waktu itu)," katanya.