JASIN - Penggunaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) tidak memberi sebarang kesan terhadap kerahsiaan undi mahupun tempoh masa yang diambil pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, orang ramai dan semua pemegang taruh diharap dapat menerima pelaksanaan sistem berkenaan secara positif sebagai satu usaha berterusan untuk memperbaiki serta mempermodenkan sistem pengundian negara.Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian setakat ini, sistem berkenaan ringkas, tepat dan mudah difahami, sekali gus tidak menyukarkan petugas pilihan raya untuk mengendalikannya."Setakat ini kita lihat sistem ini adalah satu sistem di mana petugas pilihan raya kena biasakan diri, tetapi bukanlah susah sangat. Setahu kami, mereka pun tidak mendapati bahawa sistem ini terlalu mengelirukan atau rumit. Sistem ini agak ringkas dan tepat."Jadi kita akan teruskan. Ini satu daripada usaha untuk mempermodenkan lagi sistem pengundian kita, dan saya rasa ia tidak ada kesan atau tidak ada kesan langsung kepada kerahsiaan undi kita," katanya.Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau semakan isi peti undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau di sini pada Jumaat.Mengulas lanjut, beliau berkata, SPR meneruskan penggunaan sistem tersebut kerana keupayaannya mengumpul serta memaparkan data kehadiran pengundi secara masa nyata di laman sesawang suruhanjaya itu, berbanding kaedah sebelum ini yang dikemas kini setiap satu jam.Dalam pada itu, beliau menyarankan pengundi membuat semakan pusat mengundi serta saluran masing-masing lebih awal menerusi MySPR Semak sebelum hadir ke pusat mengundi esok bagi mengelakkan kesilapan lokasi.Bagi pengundi yang tidak mempunyai capaian internet, Azmi berkata, mereka boleh hadir lebih awal dan membuat semakan di barung semakan SPR yang disediakan di luar pusat mengundi.- Bernama