MAURICIO Pochettino semakin hampir dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Manchester United selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu dilaporkan bersedia membayar £7.4 juta (RM42 juta) bagi mendapatkan khidmatnya daripada Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (US Soccer).Bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Chelsea itu turut dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun setengah bagi menggantikan Michael Carrick yang dipecat pada Khamis.United sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa nama termasuk Eddie Howe dan Julian Nagelsmann, namun Pochettino dikenal pasti sebagai calon pilihan untuk mengendalikan skuad The Red Devils.Pengendali kelahiran Argentina itu bagaimanapun dijangka menyelesaikan tanggungjawabnya bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat terlebih dahulu dengan mengendalikan kedua-dua aksi suku akhir Liga Negara-Negara CONCACAF menentang Haiti.Selepas perlawanan kedua, Pochettino dijadualkan terbang ke Manchester untuk bertemu pemain serta menilai keadaan skuad sebelum memulakan tugas menjelang pertemuan menentang Liverpool di Anfield pada Ahad depan.Dalam perkembangan berkaitan, perubahan di Old Trafford turut menyaksikan lima anggota barisan kejurulatihan meninggalkan kelab susulan pemecatan Carrick.Mereka ialah pembantu jurulatih Steve Holland, jurulatih pasukan utama Jonathan Woodgate, Jonny Evans dan Travis Binnion serta jurulatih penjaga gol, Craig Mawson.Pengunduran kumpulan kejurulatihan itu menandakan perubahan besar dalam struktur pasukan menjelang era baharu di bawah kendalian Pochettino.