LONDON: Mauricio Pochettino semakin hampir kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilaporkan mencapai persetujuan lisan untuk mengambil alih Manchester United sekiranya Michael Carrick dipecat.

Masa depan Carrick di Old Trafford semakin menjadi tanda tanya susulan prestasi hambar United yang kini berada dalam zon penyingkiran selepas gagal meraih kemenangan dalam lapan aksi liga.

Lebih membimbangkan, ia menjadi permulaan terburuk United dalam tempoh 40 tahun, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali berusia 45 tahun itu.

Carrick masih menjalankan tugas seperti biasa dan dilihat tiba di pusat latihan Carrington, namun kedudukannya dijangka diputuskan menerusi pertemuan pengurusan tertinggi kelab.