MIRI: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Bezza dinaikinya bertembung lori tiga tan di Kilometer 886.1 Lebuhraya Pan Borneo, laluan Bintulu-Miri, awal pagi hari ini.
Dalam nahas jam 4.40 pagi, mangsa Agot Anak Janang, 31, yang berada di kerusi penumpang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemandu kereta, Nelson John Kathil, 27, mengalami kecederaan di muka dan jari, manakala dua lelaki menaiki lori Hino tiga tan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.48 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergegas ke lokasi.









