ALOR GAJAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tindakannya membawa permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan pada 2023 dibuat bagi memastikan hak bekas Perdana Menteri itu tidak dinafikan.

Beliau berkata, setiap banduan mempunyai hak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya nak jelaskan mengapa saya bawa kes Datuk Seri Najib pada tahun 2023 ke Lembaga Pengampunan. Kerana saya sebagai seorang Perdana Menteri, saya tak sanggup dianggap menganiaya sesiapa.

"Dalam Perlembagaan negara kita, setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan. Kalau saya tak bagi, (umpama) saya nafikan hak dia," katanya.