MOSCOW: Russia mengatur penghantaran 90 pelancar peluru berpandu berpanduan canggih kepada Iran, menurut dokumen industri pertahanan yang bocor, sekali gus mendedahkan sejauh mana kerjasama ketenteraan antara Moscow dan Teheran.
Dokumen itu diperoleh Dallas Analytics, sebuah firma perisikan swasta Ukrain dan dikongsi dengan akhbar The Guardian.
Ia memperinci rancangan membekalkan Iran dengan pelancar bagi peluru berpandu LMUR, iaitu peluru berpandu berpanduan yang dilancarkan dari helikopter serangan dan digunakan secara meluas oleh tentera Russia untuk menyerang sasaran di Ukraine sejak pencerobohan besar-besaran pada 2022.
Jadual pengeluaran yang disediakan pada Mei 2024 oleh Vympel, sebuah syarikat utama Russia yang mereka bentuk peluru berpandu dan sistem pelancarannya, menyenaraikan tempahan 90 pelancar di bawah kontrak eksport berkod K-10, dengan penghantaran dijadualkan antara penghujung 2024 hingga Disember 2025.








