SEOUL: Korea Utara berjaya melancarkan ujian sistem peluru berpandu pertahanan udara rekaan baharu dan mengadakan latihan serangan peluru berpandu kru strategik, menurut laporan media rasmi pada Khamis.

Ujian yang dijalankan pada Rabu itu sebahagian daripada siri demonstrasi senjata yang dipergiat kebelakangan ini, merangkumi meriam berangkai, dron serangan, sistem torpedo panduan ketepatan dan peluru berpandu hipersonik jarak sederhana.

Agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA) memaklumkan ujian terbabit bertujuan mengesahkan spesifikasi teknikal, kebolehpercayaan bahan baharu serta mod panduan pelbagai pintar pada projektil berkenaan.

Laporan KCNA menyebut ujian itu berjaya menunjukkan keupayaan sistem peluru berpandu dalam mengenal pasti serta mengesan sasaran dengan tepat, selain menguji tahap kebolehpercayaan peranti pemprosesan data pengesanan.