Kuala Lumpur: Selangor FC tidak pernah terlintas untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) seperti yang hangat diperkatakan susulan dakwaan tidak berpuas hati dengan layanan diterima ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuching City di Kuching, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan dakwaan berkenaan sekadar khabar angin yang diperbesarkan sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kelab itu serius mempertimbangkan tindakan berkenaan.

Menurutnya, Selangor FC menyedari penarikan diri daripada liga akan membawa implikasi besar, bukan sahaja kepada kelab itu sendiri, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.