Kuala Lumpur: Selepas tempang tanpa ramai barisan bintang, Harimau Malaya semakin 'sakit' menjelang aksi persahabatan menentang China dan Yaman di Guangdong pada Sabtu dan Selasa ini.

Ia susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan tonggak Kuching City FC, Safawi Rasid terpaksa meninggalkan kem latihan skuad Harimau Malaya di China disebabkan urusan keluarga.

Situasi itu pasti menambah pening kepala ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apatah lagi Safawi dilihat menjadi antara pemain harapannya selepas ketiadaan Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Pengendali berusia 58 tahun berkenaan menjelaskan Safawi pulang ke tanah air, hari ini, selepas pemain itu memaklumkan kepadanya mengenai masalah yang dihadapi.