New York: Dua maut manakala sekurang-kurangnya 17 lagi cedera, termasuk tujuh kanak-kanak, selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh berhampiran tapak pembinaan di New York, Amerika Syarikat (AS), Rabu lalu.
Pihak berkuasa berkata, empat daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menyelongkar timbunan runtuhan di hadapan sebuah bangunan dipercayai kediaman yang sebahagian dindingnya musnah sehingga mendedahkan ruang bilik tidur dan almari pakaian.
Bangunan itu runtuh ke kawasan penggalian bersebelahan sehingga menyebabkan beberapa individu terperangkap sebelum anggota bomba menjalankan operasi menyelamat selama beberapa jam menggunakan dron, anjing pengesan dan gergaji rantai.









