London: Thomas Tuchel menegaskan tidak mempunyai hasrat meninggalkan jawatan ketua jurulatih England sebelum Euro 2028, biarpun menerima 'lamaran' daripada kelab gergasi.
Tuchel yang menggantikan Gareth Southgate pada 2025, pada awalnya menandatangani kontrak selama 18 bulan sehingga Piala Dunia tahun ini di Amerika Utara.
Bagaimanapun, jurulatih dari Jerman itu menandatangani lanjutan kontrak pada Februari lalu yang menyaksikan beliau kekal membimbing England sehingga Euro 2028 yang akan berlangsung di laman sendiri.
"Tiada klausa pelepasan dan saya juga tidak mempunyai sebarang niat untuk pergi. Saya sudah menandatangani kontrak dan mahu kekal sehingga Euro. Saya mahu mengharungi kejohanan itu kerana masih ada tugas yang belum diselesaikan," katanya.









