DUNGUN – Harapan untuk menyaksikan penetasan anak penyu belimbing di negeri ini tidak kesampaian apabila kesemua 313 biji telur spesies penyu terbesar di dunia itu disahkan gagal menetas selepas didapati tidak disenyawakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, hasil pemeriksaan teknikal dan ujian suluhan cahaya terhadap lima sarang penyu berkenaan mendapati tiada pembentukan saluran darah atau struktur embrio pada telur tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan selepas kesemua telur tersebut melalui tempoh pengeraman selama 30 hari.
“Kesemua telur penyu gagal menetas dipercayai kerana tidak disenyawakan berikutan induk penyu betina berkenaan tidak melalui proses persenyawaan dengan penyu jantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, di sini hari ini.









