KUALA TERENGGANU – Helah menggunakan permit pemindahan lembu ke lokasi berbeza terbongkar selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menyerbu sebuah kandang di Kampung Surau Haji Daud di sini semalam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 20 ekor lembu bersama sebuah lori disita dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM50,000.
Ketua Penguat Kuasa Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah berkata, siasatan awal mengenal pasti dua individu berusia 45 dan 38 tahun yang dipercayai pasangan suami isteri mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Menurutnya, kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama lebih sebulan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai modus operandi pemindahan ternakan yang mencurigakan.








