KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini berupaya mengeluarkan amaran awal banjir hingga satu jam sebelum kejadian berbanding hanya lima minit sebelum ini, susulan peningkatan keupayaan Pusat Kawalan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata penambahbaikan fungsi pusat kawalan itu membolehkan amaran banjir disalurkan lebih awal kepada penduduk.

Beliau berkata, sebanyak 14 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir dan banjir kilat di ibu negara tahun ini, namun tiada yang melibatkan kawasan Parlimen Batu.

“Berdasarkan rekod terdahulu, dalam lima tahun kebelakangan ini terdapat dua lokasi yang pernah terlibat dengan banjir kilat iaitu di Kampung Chubadak Asal dan Kampung Seri Delima di Parlimen Batu dengan melibatkan jumlah penduduk 250 orang,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.