SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad berhubung dakwaan kehadiran pengutip hutang yang mencari bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan berkenaan dibuat oleh Nubhan, 40, pada 23 Oktober lalu.
Menurutnya, laporan itu diklasifikasikan sebagai cover report dan setakat ini tiada kertas siasatan dibuka berhubung perkara berkenaan.
“Laporan polis kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘cover report’ dan setakat ini tiada kertas siasatan dibuka. Bagaimanapun, pihak polis memantau perkembangan kes ini.









