KLANG: Keselamatan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) perlu diberi keutamaan bagi mengelak risiko kegagalan sistem, kebakaran dan ancaman terhadap keselamatan awam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata setiap projek BESS perlu mematuhi keperluan teknikal dan kod grid yang berkuat kuasa, selain garis panduan keselamatan sistem penyimpanan tenaga bateri yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memastikan sistem berkenaan memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, teknologi bateri mempunyai ciri teknikal yang kompleks dan memerlukan kawalan ketat berkaitan reka bentuk, pemilihan komponen, pemasangan, pengoperasian sehingga kepada penyelenggaraan sistem.








