KUALA LUMPUR – Menteri dan timbalan menteri Kabinet merakamkan ucapan Selamat Hari Deepavali dengan menyeru masyarakat memanfaatkan sambutan Pesta Cahaya untuk mempererat ikatan persaudaraan dan keharmonian, selain mengutamakan keselamatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berharap agar perayaan kali ini dilimpahi kebaikan dan kebahagiaan di samping mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam perjalanan.
“Selamat Hari Deepavali kepada semua yang meraikannya. Semoga cahaya perayaan ini membawa harapan, kebaikan dan kebahagiaan kepada setiap keluarga. Berhati-hati di jalan raya. Deepavali Nal Valthukkal,” katanya menerusi hantaran di Faceebook.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula mengajak masyarakat yang meraikan Deepavali mengeratkan kasih sayang sesama keluarga, kemesraan antara jiran tetangga serta semangat persaudaraan.









