Melaka: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu memenangi 25 daripada 28 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu ini.

Tanpa memperincikan kerusi yang bakal dimenangi, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa termasuk masalah dalaman Pakatan Harapan (PH).

"Kalau melihat suasana politik sekarang, saya yakin dalam suasana kecelaruan politik yang sedang berlaku, antaranya masalah dalaman Pakatan Harapan, kita menjangkakan silap-silap hari bulan, kita boleh menang 25 daripada 28 kerusi.

"Kalau dengan izin Allah, Insya-Allah mohon menang 21 (kerusi) dan (hasil) sumbangan daripada rakan kita mungkin kita boleh capai sampai 25 kerusi," katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Jentera BN DUN Taboh Naning, di sini, hari ini.