TEHERAN: Iran mendedahkan sebuah fasiliti peluru berpandu bawah tanah yang baharu, dengan rakaman menunjukkan beberapa komander kanan tentera meninjau kompleks berkenaan ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) terus meningkat.

Rakaman yang disiarkan media kerajaan Iran pada Selasa menunjukkan Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, dan Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Majid Mousavi, memeriksa beberapa bahagian fasiliti itu.

Bagaimanapun, lokasi fasiliti berkenaan dan tarikh rakaman lawatan itu dibuat tidak didedahkan.

Video berkenaan memaparkan kompleks terowong bawah tanah yang luas, dengan deretan peluru berpandu bersaiz besar di atas treler atau pelantar, selain trak tentera, kenderaan pengangkut serta bendera Iran dan IRGC.