SEREMBAN – Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka terpaksa melupakan sementara pengajiannya selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Sungai Gadut-Rantau, 9 November lalu.
Lebih menyedihkan, mangsa, Nur Syamira Ensya Hussin, 21, bukan sahaja mengalami patah kaki dan tangan kanan, malah anak saudaranya berusia tujuh tahun yang membonceng motosikal sama turut cedera di bahagian tulang lutut.
Kakak mangsa, Nur Hussyazwanie Hussin, 27, berkata, ketika kejadian antara pukul 3 hingga 4 petang itu, adiknya dalam perjalanan dari Rantau menuju ke Seremban Jaya bersama anak lelakinya.
Menurutnya, keadaan ketika itu hujan sebelum sebuah kereta dipercayai jenis Proton Wira berwarna merah dari arah Sungai Gadut menghala ke Rantau secara tiba-tiba memasuki laluan motosikal dinaiki adiknya sebelum berlaku pelanggaran.






