TELUK INTAN – Seorang pesara guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan sebuah sekolah menengah sejak Mei 2024 hingga Julai 2025.
Tertuduh, Zaidi Abbas, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan, bekas guru Bahasa Melayu itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa berusia 13 hingga 15 tahun yang mana dia mempunyai hubungan amanah sebagai guru.
Bapa empat anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke Teluk Intan, selain di kantin dan bilik khas di sekolah berkenaan, antara Mei 2024 dan Julai 2025.









