KUALA LUMPUR: Kecederaan berterusan dialami beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menimbulkan kebimbangan terutama menjelang kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, pihak pengurusan mengambil langkah awal kerana jika terus memaksa pasangan itu bermain, risiko kecederaan menjadi lebih serius tinggi.

Katanya, masalah pada tapak kaki Wooi Yik masih memerlukan masa untuk pulih, manakala Aaron dipercayai berdepan kecederaan bahu yang mungkin menjadi punca mereka menarik diri daripada Masters Kumamoto.

"Pada usia seperti Aaron dan Wooi Yik, perkara yang paling saya bimbangkan ialah kecederaan. Kita berharap kecederaan Wooi Yik tidak terlalu serius kerana tahun depan kelayakan Olimpik sudah bermula.