KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tahanan rumah jika mahu diperluaskan perlu diteliti dan diperhalusi bagi mengelakkan penyalahgunaan proses pelaksanaan undang-undang dan hukuman yang sudah diputuskan mahkamah.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, hukuman itu juga perlu menyedarkan masyarakat awam dan mengambil iktibar daripada sebarang kesalahan yang sudah dibuktikan oleh mahkamah mengikut undang-undang.

Katanya, apabila seseorang yang berpengaruh atau berkedudukan diputuskan dan dibuktikan bersalah serta dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, individu berkenaan sepatutnya perlu menjalani proses hukuman seperti mana orang biasa.

Namun, katanya , jika pelaksanaan hukuman penjara melalui tahanan rumah mudah untuk dimohon dan tidak digunakan dengan sewajarnya maka kaedah itu akan membuatkan pesalah tidak dapat menjalani hukuman seperti orang lain yang melakukan kesalahan yang sama.