KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara dituntut untuk tampil dengan lebih garang apabila turun menentang Singapura pada aksi kedua Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
Peringatan itu disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan ketika meluangkan masa menyaksikan sesi latihan skuad kendalian Shukor Adan di Universiti Malaya, kelmarin.
Pesanan paling utama diberikan Ab Ghani adalah supaya jentera serangan Harimau Malaya B-16 memperbaiki ketumpulan penyudah yang menjadi antara faktor skuad itu tewas 0-2 kepada Palestin dalam aksi pembukaan, Ahad lalu.
Beliau turut meminta pemain segera melupakan kekalahan itu dan memberikan sepenuh tumpuan untuk bangkit memburu kemenangan ke atas Singapura.









