KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa melupakan Kejohanan Badminton Kumamoto Masters lebih awal apabila menarik diri di pusingan pertama.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto, Jepun sebentar tadi, bekas juara dunia itu terpaksa menarik diri seawal set pertama ekoran kecederaan.

Jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Chang Kim Wai berkata, anak-anak buahnya itu mengambil keputusan tersebut kerana kecederaan tumit dialami Wooi Yik belum pulih sepenuhnya.

“Saya lihat Aaron okey sahaja, cuma Wooi Yik itu sejak di Terbuka Perancis lagi sudah kena (kecederaan),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.