DI bawah satu bumbung masjid, pelbagai bangsa berhimpun dengan latar belakang bahasa dan budaya berbeza. Namun, bahasa Melayu tetap bergema dari mimbar Jumaat.
Dalam kalangan jemaah, terdapat warga asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Walaupun berkongsi tuntutan ibadah yang sama, tahap penguasaan bahasa mereka tidak serupa.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penggunaannya bukan sahaja meliputi urusan rasmi dan komunikasi harian, malah turut menjadi medium penyampaian ilmu agama, khususnya melalui khutbah Jumaat.
Khutbah bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah tetapi berperanan menyampaikan nasihat, peringatan dan panduan kepada umat Islam.









