KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pertuturan, tetapi lambang jati diri, kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Namun, di sebalik kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, timbul kebimbangan apabila peranannya sebagai bahasa kemajuan semakin dipinggirkan, seolah-olah hanya diperlukan untuk menyatukan rakyat, bukan membangunkan negara.
Persoalan itu menjadi tumpuan Program Wacana Bahasa Warisan 2026 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-baru ini yang menampilkan Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Mengupas tajuk "Peranan dualiti bahasa Melayu sebagai bahasa negara", beliau berkata istilah 'bahasa negara' secara umumnya merangkumi dua fungsi teras yang saling melengkapi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.










