Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) merancang memperkenalkan peperiksaan pensijilan Bahasa Melayu bertaraf antarabangsa, bagi mewujudkan standard penilaian kompetensi bahasa itu pada peringkat kebangsaan dan global.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata, inisiatif itu, bertujuan menyediakan satu sistem penilaian standard bagi mengukur tahap penguasaan Bahasa Melayu, sama seperti peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL) bagi bahasa Inggeris.

"Dalam Bahasa Melayu, tiada satu peperiksaan khusus (yang wajib) untuk memberikan standard kompetensi dalam bahasa itu. Jadi kita nak jadikan UKM sebagai pusat peperiksaan Bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dan juga pada peringkat kebangsaan... contohnya kalau mereka ada yang nak memohon menjadi warganegara, jadi mereka wajib mengambil kursus Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh ATMA UKM," katanya.