KULIM: Ferrotec Group memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor dan pembuatan termaju negara menerusi pembukaan kilang kedua Ferrotec Manufacturing Malaysia di Padang Meha, Kulim, Kedah, pada 28 Oktober lalu.
Pembukaan kemudahan baharu itu menyusuli komitmen pelaburan tambahan RM1 bilion oleh kumpulan berkenaan, sekali gus menjadikan jumlah pelaburan terkumpul bagi kedua-dua kilangnya di Kulim kira-kira RM1.9 bilion.
Pelaburan berkenaan turut dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, khususnya golongan profesional dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan kepakaran pengeluaran.
Ferrotec sebelum ini memulakan operasi kilang pertamanya di Kulim pada Januari 2024 menerusi pelaburan permulaan melebihi RM900 juta, sebelum meneruskan pengembangan operasi dengan komitmen pelaburan tambahan RM1 bilion bagi pembinaan kilang kedua.








