KUALA LUMPUR: Dakwaan minyak sawit import dicampurkan dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula sebagai produk Malaysia boleh menjejaskan pengeksport tempatan serta reputasi industri sawit negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan, berkata amalan yang digelar minyak 'koktel' itu berisiko menjejaskan pematuhan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), selain menimbulkan persoalan mengenai asal usul, kualiti dan keselamatan produk.

Beliau berkata, EUDR, yang menurutnya akan terpakai kepada pengusaha besar mulai 30 Disember ini, mewajibkan minyak sawit yang memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) dapat dikesan sehingga ke kawasan ia dihasilkan.