Kuala Lumpur: Kejayaan skuad sepak takraw negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya wajar diberikan pengiktirafan lebih besar menerusi tambahan insentif khas daripada kerajaan.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian ganjaran tambahan kepada setiap pemain selepas insentif RM15,000 seorang menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dilihat tidak setimpal dengan pengorbanan mereka.

Beliau berkata, rungutan tekong utama negara, Syahir Rosdi yang terkilan apabila ganjaran bagi emas berpasukan jauh lebih rendah berbanding RM80,000 untuk pemenang emas acara individu, mempunyai asas yang kukuh.