Kuala Lumpur: Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) tidak memperuntukkan sebarang mekanisme penguatkuasaan antara negara mahupun tuntutan ganti rugi terhadap pihak yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata ini kerana perjanjian serantau yang dimeterai lebih dua dekad lepas itu diasaskan atas prinsip kerjasama, konsensus serta penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara anggota.
Justeru, beliau berkata sebarang tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak atau syarikat yang mencetuskan kebakaran tertakluk sepenuhnya kepada bidang kuasa serta perundangan domestik negara terbabit.








