KUALA LUMPUR: Tokoh korporat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diterbitkan mengenai dirinya.
Peguam yang mewakili Farhash, Datuk Seri Rajan Navaratnam, berkata pihaknya memfailkan writ saman dan Pernyataan Tuntutan pada 23 Oktober lalu selepas meneliti kenyataan yang dibuat dalam sebuah podcast di saluran YouTube milik Rafizi.
Katanya, podcast itu bertajuk Dari Umno ke PKR: Zetrix – Kerajaan Bertukar, Kroni Berpindah? | YBM #68 itu diterbitkan pada 16 Oktober lalu dan berdurasi kira-kira tiga jam 14 minit.
"Podcast itu mengandungi kenyataan mengenai kepentingan perniagaan Farhash, hubungan korporat, dakwaan kaitan dengan tokoh politik serta tuduhan berkaitan kronisme dan perolehan kontrak kerajaan.









