Petaling Jaya: CelcomDigi Bhd mengesan kira-kira 260 juta panggilan yang disyaki mempunyai unsur penipuan atau 'scam', selain menyekat 22 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap bulan menerusi sistem perlindungan rangkaiannya bagi melindungi pelanggan.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram, berkata peningkatan penggunaan teknologi digital turut menyebabkan taktik penipuan menjadi semakin canggih, meyakinkan dan mudah diperluaskan.

Beliau berkata, sebagai pengendali rangkaian mudah alih yang mempunyai lebih 20 juta pelanggan di seluruh negara, CelcomDigi mempunyai tanggungjawab memastikan pengguna bukan sahaja mendapat akses kepada perkhidmatan digital, malah dapat menggunakannya dengan selamat.