MELAKA: Pengalaman dalam bidang kesihatan dan perkhidmatan awam menjadi antara kekuatan yang mahu dimanfaatkan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datin Seri Dr. Asmah Samat, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, pengalaman berurusan dengan masyarakat sebelum ini mengajar keperluan rakyat bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, malah merangkumi aspek kesihatan, kebajikan dan kesejahteran kehidupan.
Menurutnya, mendengar dan memahami masalah individu perlu diberi perhatian kerana ada kalanya masyarakat memerlukan ruang untuk menyuarakan kebimbangan.
“Kadang-kadang pesakit datang bukan semata-mata mahu mendapatkan ubat atau rawatan. Ada yang hanya mahu meluahkan perasaan kerana berasakan doktor memahami mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.








