PETALING JAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan seluruh rakyat khususnya yang menetap di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat dan arahan dikeluarkan kerajaan serta agensi berkaitan sepanjang musim tengkujuh.

Baginda bertitah, aspek keselamatan diri dan keluarga hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.

“Sehubungan itu, Baginda menyeru penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, semalam.