MUMBAI: Seorang wanita dari Mumbai berjaya menjadikan tidur sebagai peluang lumayan apabila memenangi hadiah wang tunai 960,000 rupee (RM41,796) serta percutian tajaan selepas muncul juara dalam pertandingan Program Latihan Tidur.

Jiniya Chatterjee dinobatkan sebagai Juara Tidur India selepas menamatkan pertandingan selama dua bulan yang menarik lebih 200,000 permohonan dari seluruh negara.

Program unik anjuran syarikat kelengkapan rumah dan perabot, Wakefit itu memerlukan peserta mengutamakan tidur, mengekalkan jadual tidur yang konsisten serta menyertai cabaran kreatif setiap minggu.

Daripada lebih 200,000 pemohon, hanya 10 calon dipilih selepas melalui beberapa peringkat saringan dan temu duga individu. Mereka bersaing selama kira-kira 60 hari dengan merekodkan prestasi tidur masing-masing, manakala markah harian menentukan kedudukan dalam senarai peserta.